Bab 17 : Hang Tuah Bertikam Dengan Hang Jebat

Rabu, 2 September 2009 at 4:00:00 PTG
Hasil kerja : Ramizah Mohd. Azri. (U6-7).

SINOPSIS :

Raja Melaka serta semua pembesar istana sudah tidak sanggup menghadapi amukan Hang Jebat di dalam istana yang dianggap derhaka kepada raja. Tiada siapa yang berani mahu pun dapat menghalang tingkah laku Hang Jebat. Lalu Bendahara Paduka Raja membuka rahsia bahawa Hang Tuah masih hidup dan beliau berada di dusun Bendahara Paduka Raja di Hulu Melaka, berguru dengan Syeikh Mansur. Raja menitahkan Tun Pekerma dan Tun Kasturi agar menjemput Hang Tuah untuk pulang ke Melaka. Apabila Hang Tuah pulang, beliau bermain senjata dengan Hang Jebat atas perbuatannya yang menderhakai raja.Hang Jebat tewas di tangan Hang Tuah.

JALAN CERITA :

Raja Melaka sangat gembira menyambut kepulangan Hang Tuah, tambahan lagi baginda sangat rindu kepadanya. Baginda memberikan ayapan baginda kepada Hang Tuah menunjukkan bahawa baginda sangat kasih akan Hang Tuah. Baginda menitahkan supaya Hang Tuah beradu tenaga dengan Hang Jebat kerana baginda tidak tahan dengan penderhakaan Hang Jebat. Hang Tuah mengambil masa lima hari lima malam untuk berehat kerana badan beliau terasa lemah kerana sudah empat bulan tidak bermain senjata.

Hang Tuah menyuarakan kepada raja supaya keris Taming Sari diserahkan kembali kepadanya, tetapi keris tersebut telah diserahkan kepada Hang Jebat semasa Raja Melaka menitahkan Bendahara Paduka Raja untuk membunuh Hang Tuah. Selagi keris tersebut berada di tangan Hang Jebat, tidak seorang pun akan dapat menumpaskannya. Raja Melaka mencadangkan supaya Hang Tuah menggunakan keris-keris baginda yang lain. Hang Tuah mencuba semua keris baginda raja, tetapi tidak ada satu pun yang boleh menandingi kehebatan Keris Taming Sari. Akhirnya Raja Melaka pun menitahkan Hang Kasturi supaya mengambil keris yang dianugerahkan oleh ayahandanya di Bukit Siguntang, buat Hang Tuah.

Di Istana Melaka, Hang Jebat menyambut baik akan kedatangan Hang Kasturi atas sebab hubungan persahabatan mereka sejak kecil. Hang Kasturi melaksanakan seperti yang dititahkan kepadanya. Hang Jebat pun mengambil keris tersebut dan menyerahkan kepada Hang Kasturi.
\
Keesokan tengah harinya, sewaktu Hang Jebat sedang tidur, Hang Tuah diiringi 40 orang pengawal dan berbekalkan keris pusaka Raja Melaka, pergi ke istana Melaka untuk membunuh Hang Jebat. Hang Jebat terjaga dari tidurnya apabila terdengar huru-hara suara dayang-dayang istana seramai 700 orang bising ketakutan. Kehadiran Hang Tuah di tengah-tengah taman istana sangat mengejutkan Hang Jebat dan beliau menganggapnya hanya mimpi kerana beliau hanya mengetahui yang Hang Tuah sudah mati di bunuh.

Sebelum Hang Tuah memasuki istana, Hang Jebat menutup semua 40 pintu istana dan membunuh semua perempuan dalam istana, kecuali Dang Baru yang sedang mengandung tujuh bulan. Hang Tuah menyuruh Hang Jebat membuka kedua-dua daun pintu kerana khuatir akan tipu helahnya. Hang Tuah pun melompat ke dalam istana dan bermulalah pergelutan diantara dua sahabat tersebut.

Dalam pergelutan itu, Hang Tuah gagal untuk menikam Hang Jebat kerana keris Taming Sari masih berada di tangan Hang Jebat. Sebelum meneruskan pertikaman, Hang Jebat meminta agar semua pengawal istana tidak menjolok lantai istana dengan menggunakan lembing dan memberitahu tentang kehamilan Dang Baru. Dua bersaudara ini terpaksa bertarung di atas talam kerana khuatir akan jolokan dari bawah. Kemudian beliau berwasiat kepada Hang Tuah, jika Dang Baru melahirkan seorang anak lelaki hendaklah dijadikan pengawal Tun Nadim (anak Hang Tuah). Manakala sekiranya seorang perempuan, itu terserah kepada ibunya, Dang Baru.

Apabila penat bertarung, dua bersaudara pun berehat. Hang Jebat terleka semasa berehat dan kesempatan tersebut diambil oleh Hang Tuah untuk mengambil keris Taming Sari dari pinggang Hang Jebat. Hang Tuah membalingkan keris yang digunakannya sebelum ini ke arah Hang Jebat dan pergelutan diteruskan. Hang Jebat telah terkena tikaman keris Taming Sari Hang Tuah.. Setelah pergelutan berakhir, Hang Tuah membalut luka Hang Jebat terlebih dahulu sebelum beliau pulang ke rumah.

Hang Jebat yang bermandikan darah menutup semua pintu istana untuk berehat dan berjumpa isterinya. Orang ramai yang menyaksikan pertikaman tersebut terkejut kerana Hang Jebat masih hidup. Hang Jebat kemudiannya mengamuk di tengah pasar Negeri Melaka menyebabkan beribu-ribu orang mati terbunuh termasuk lelaki dan perempuan.

Hang Kasturi menjenguk Hang Tuah di rumahnya (atas titah Raja Melaka). Hang Kasturi diberitahu oleh Dang Kamala bahawa Hang Tuah sedang berkhalwat dan tidak boleh bercakap selama tiga hari tiga malam. Berita tersebut disembahkan kepada raja. Hang Tuah kemudiannya pergi ke sungai setelah mendapat tahu tentang pengamukan Hang Jebat di pasar.

Setelah Hang Jebat terdengar suara Hang Tuah, beliau terus mendapatkan Hang Tuah dan meminta supaya dirinya dibuang ke sungai. Hang Tuah berasa simpati dengan Hang Jebat, lalu membawanya bersama pulang ke rumah. Hang Tuah memberinya sirih yang sudah beliau kapurkan. Hang Jebat meminta agar Hang Tuah membuka balutan lukanya dan darah pun keluar dengan banyaknya. Hang Jebat pun mati di pangkuan Hang Tuah.

Mayat Hang Jebat digantung di tengah- tengah jalan besar selama tujuh hari tujuh malam untuk dijadikan tontonan ramai. Raja Melaka bertambah sayang kepada Hang Tuah dan ini menimbulkan lagi perasaan iri hati para pegawai dan pertuanan istana tetapi tidak berani untuk menyuarakannya, kerana bendahara dan Temenggong kasih akan Hang Tuah.

Dang Baru melahirkan anak lelaki yang diberi nama Hang Kadim setelah dua bulan Hang Jebat meninggal. Raja menitahkan supaya Hang Kadim dibuang ke laut. Tetapi dihalang oleh Hang Tuah kerana Hang Jebat memberi wasiat agar anak itu dipeliharanya. Hang Tuah mengadap Tun Teja dan memohon kurnia supaya Hang Kadim itu dihantar ke Inderapura untuk dijaga oleh ayahanda Tun Teja.


PERISTIWA PENTING :

• Raja Melaka menitahkan Hang Tuah beradu tenaga dengan Hang Jebat kerana amukannya yang dianggap menderhakai raja.
• Hang Jebat terkejut melihat kemunculan Hang Tuah di tengah-tengah taman istana dan pergelutan berlaku pada hari itu juga.
• Hang Tuah Tidak Dapat menewaskan Hang Jebat selagi keris Taming Sari masih di tangan Hang Jebat.
• Hang Tuah berjaya mengambil Keris Taming Sari daripada Hang Jebat ketika mereka sedang berehat keletihan.Hang Jebat berjaya ditikam dengan keris tersebut.
• Hang Jebat mengamuk di tengah pasar negeri Melaka.
• Hang Tuah berkhalwat selama tiga hari tiga malam dan tidak boleh bercakap.
• Hang Jebat berjumpa dengan Hang Tuah dan menyampaikan wasiatnya tentang anaknya. Beliau mati di pangkuan Hang Tuah.
• Mayat Hang Jebat digantung di tengah-tengah jalan besar selama tujuh hari tujuh malam untuk tontonan rakyat.
• Dang Baru melahirkan anak lelaki yang diberi nama Hang Kadim.
• Hang Kadim dihantar ke Inderapura untuk dijaga oleh ayahanda Tun Teja.

WATAK-WATAK :

• Raja Melaka.
• Hang Tuah.
• Hang Jebat.
• Bendahara Paduka Raja.
• Tun Pekerma.
• Dang Baru – isteri Hang Jebat.
• Dang Kamala – Isteri Hang Tuah
• Tun Teja
• Bendahara Seri Buana.
• Dayang-dayang istana.
• Hang Kadim – anak Hang Jebat
• Pengawal, pertuanan dan pegawai istana.

LATAR TEMPAT :

 Istana Melaka
 Dusun Bendahara Paduka Raja
 Rumah Hang Tuah
 Negeri Melaka
 Sungai
 Di tengah pasar negeri Melaka
 Inderapura

LATAR MASA :

 Tengah hari
 Hari Ahad

1 Responses to Bab 17 : Hang Tuah Bertikam Dengan Hang Jebat

  1. Unknown Says:

    Betul kew saudara Dato Hang Jebat berkawen? Hahahaha ·····Kaji sejarah jgn pakai cut and paste dan memomok kan cerita macam Bentara Tujuh····hehehe

Catat Ulasan